KONTROVERSI pasangan Selebriti Popular Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya masih berbaki bermula daripada foto pertama yang dimuat naik Awal di laman Instagram miliknya bertarikh 23 Julai lalu hingga sekarang pun, campuran reaksi diterima Awal dan pastinya tidak terlepas daripada komen-komen negatif.
Pelakon dan pengacara itu ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran saluran baharu Astro Bollyone HD di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur memberikan penjelasan berkenaan situasi tersebut. Ikuti temu bual Awal bersama wartawan:
Wartawan: Selepas mengumumkan nama anak anda, Lara sekitar dua minggu lalu, kritikan masih diterima hingga ada yang menyifatkan nama itu mempunyai maksud yang negatif.
Apakah komen anda?
AWAL: Saya lebih menghormati perasaan orang dalam pantang iaitu isteri saya, Scha, sebab perasaan dia terlalu sensitif dan perkara-perkara kecil pun boleh membuatkan dia terguris. Kalau boleh, saya tidak mahu maklumkan terlebih dulu nama anak kami tapi disebabkan terlalu ramai yang membuat spekulasi dan berjenaka mengenai nama anak saya maka saya mengambil kesempatan untuk mengumumkan nama anak terlebih dulu.

Mengenai makna nama anak anda pula, apakah yang Awal boleh jelaskan sekarang?
Ada yang cakap nama anak saya tidak ada makna dan mempunyai maksud yang tidak elok. Bagi saya, itu nama yang kami sudah pilih. Sebagai ibu bapa, kami sudah membuat rujukan dan bertanya terlebih dulu sebelum memberikan nama kepada anak kami. Dalam bahasa Melayu pun ada makna begitu juga bahasa-bahasa lain yang mempunyai makna yang indah iaitu wanita yang kuat dan cantik.
Adakah anda sendiri mementingkan tentang persepsi dan komen negatif yang dilemparkan di laman sosial anda?
Saya tidak kisah kalau nama itu tidak disukai orang dan rasanya kita sendiri boleh berfikir dalam pelbagai konteks. Kenapa perlu meletakkan perkara negatif sebagai satu halangan sedangkan nama itu sendiri mempunyai pelbagai maksud yang indah. Itu nama yang kami pilih, suka atau tidak haruslah terima dan jangan pertikaikan.
Anda juga masih belum menunjukkan wajah anak anda, Lara. Mungkin anda sendiri menyasarkan waktu khusus untuk berbuat demikian?
Saya tidak menunjukkan wajah anak saya kerana desakan orang. Mereka tidak menggalakkan untuk saya menunjukkan wajah bayi sebelum habis berpantang. Jadi saya mengambil pendekatan mendengar nasihat mereka dan simpan saja terlebih dulu, bukannya merugikan sesiapa pun. Saya sendiri melihat bagaimana Scha berpantang dan pengalaman itu tidak indah. Apabila dia sudah bersedia untuk berjumpa khalayak, kami akan perkenalkan anak kami.
Bagaimanakah reaksi dia (Scha) sepanjang berdepan dengan pelbagai situasi negatif seperti sekarang?
Kalau hendak diikutkan personaliti dia, memang dia tidak mengambil pusing mengenai perkara remeh-temeh. Baginya, ada banyak perkara yang lebih penting seperti menjaga anak dan memastikan anak kami gembira. Tetapi saya sendiri sebagai seorang bapa tidak boleh lari daripada perasaan marah dan terganggu dengan komen-komen negatif. Ada yang cakap anak saya cacat, tidak cantik, sumbing dan pelbagai kata negatif yang boleh menyakitkan hati saya. Cuba bayangkan kalau saya meletakkan wajah penuh anak saya nanti, mesti akan muncul pula komen negatif lain dan orang akan tetap mengata.
Adakah anda mempunyai tarikh khusus untuk mengumumkan nama penuh dan wajah Lara?
Nama penuh akan diumumkan serentak dengan wajah anak saya. Saya menghormati Scha dan hak itu saya berikan kepadanya. Tempoh berpantang pun ada lagi bagi lebih kurang 10 hari jadi selepas berpantang kami akan tunjuk.
Apakah medium yang akan digunakan anda untuk mengumumkan perkara tersebut?
Media sosial! Kami ada Instagram, Facebook dan Twitter yang mengandungi jumlah pengikut tersendiri dan berbeza-beza. Itu cara kami berinteraksi dengan peminat. Selepas berpantang, kami akan umumkan menerusi laman sosial supaya adil dan saksama. Tidak akan ada sebarang media atau stesen televisyen yang mendapat hak eksklusif tersebut. Sekarang pun sebenarnya sudah tunjuk sedikit demi sedikit, mungkin ramai yang tidak perasan.
Sudi anda kongsikan kehidupan bergelar bapa sekarang?
Sudah hampir sebulan saya bergelar bapa dan bayi pun sudah mula pandai. Wajahnya mirip kami berdua dan banyak perkara yang dia (Lara) lakukan yang membuatkan kami merasai pengalaman sebagai ibu bapa. Bangun setiap jam pada waktu malam, mandikan dia dan sebagainya. Malah, sekarang pun saya tidak mengambil sebagai tawaran luar daerah kerana mahu memberikan tumpuan kepada menguruskan anak.
Semoga Awal dan Scha bahagia bersama membesarkan Lara.
BACA SETERUSNYA:Mengapa Gambar Lara Alana Paling Mahal Di Antara Semua Gambar Bayi Malaysia.
BACA SETERUSNYA Lara Alana VS Aaisyah Dhia Rana. Siapa Lagi Comel?
Post a Comment