Allahyarham Tuan Guru ketika berumur 82 tahun. |
12 Febuari 2015, syahidnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dunia terasa kosong apabila mendengar perkhabaran sedih ini melalui Whatsapp group. Mesej ringkas yang mengatakan Tuan Guru telah meninggal daripada rakanku itu hanya acuh tak acuh sahaja ku pandang. Teringat byk berita palsu disebarkan melalui aplikasi Whatsapp kebelakangan ini.
Jari jemariku perlahan menaip ringkas di papan kekunci laptop ku, "Nik Aziz Meninggal".
Terkejut.
Beribu mesej Facebook dan laman web berita terkemuka melaporkan berita tersebut. Sahlah bahawa Tuan Guru yang aku kasihi ini telah meninggalkan kita semua buat selama-lamanya! Tanpa kusedari, air mataku mengalir.
Biodata Ringkas Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz
Dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu. Beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Binti Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).
Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran 'Tuan Guru' di kalangan rakyat Malaysia. Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada Solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.
Beliau sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya. Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.
Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.
Pada tahun 2009, beliau diletakan diantara 50 tokoh Islam berpengaruh didunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims".
Kata Tuan Guru Nik Aziz: "Saya maafkan semua orang yang mencerca dan memfitnah saya dan keluarga, mereka mungkin tidak tahu atau tidak jelas dengan pendirian saya. Ini bersesuaian dengan surah Al Jaatsiyah ayat 14 bahawasanya Allah telah berfirman: Katakanlah kepada orang-orang yang beriman, hendaklah mereka memaafkan orang-orang yang tidak takut akan hari-hari Allah yakni hari pembalasan".
Ujarnya lagi: "Nak buat apa saya bawa dosa mereka? Nanti di akhirat, saya terpaksa menangguh hisab sehingga mereka itu semua di hisab. Saya tidak sanggup lagi menangguhnya di sana. Lagipun, saya kasihan belas kepada mereka dan ibu bapa mereka", itu saja, sambil beliau mengesat air matanya.
Tanggal 12 Februari 2015, Tuan Guru yang kita sayangi menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah halamannya disamping keluarga. Beliau meninggalkan kita semua pada umur 84 tahun.
Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.
Post a Comment